Sedar atau tidak dalam kita membuat kebaikan, kadangkala ianya hanya untuk merasa diri lebih baik dan lebih hebat dari orang lain. Merasa diri sangat terpuji dan lebih dekat dengan Tuhan, dan orang lain yang tidak melakukan sepertimana yang kita lakukan pula adalah rendah dan lebih kotor dari kita.
5 Perangkap Ego Yang Menjatuhkan Anda |
Entah kayu ukur dari mana yang kita guna, sedangkan Tuhan lebih memandang hati kita, tapi ketika kita melakukan kebaikan, hati kita penuh dengan riak.
Ada sebuah filem yang pernah saya tonton di tv yang saya lupa tajuknya kerana sudah lama, mungkin waktu saya masih bersekolah menengah.
Mengisahkan tentang anak yang kehilangan ibu bapa. Anak itu dijaga sebentar oleh makciknya. Tapi selepas beberapa hari, makciknya menghubungi seorang paderi dan bertanya tentang hak penjagaan anak itu yang mana dia tidak sanggup menjaga anak itu. Dengan penuh perihatin tapi sombong dalam masa yang sama, dia mengatakan bahawa dia sudah sangat baik kerana menumpangkan anak itu beberapa lama di rumahnya.
Saya merasa hairan. Makcik itu bukanlah seorang yang baik apabila dia mengatakan bahawa dia sudah berbuat baik. Sememangnya apa yang dilakukannya adalah baik, tapi dia melakukannya dengan sombong dan tidak ikhlas, maka pada pendapat saya, itu bukanlah kebaikan tapi keterpaksaan dan riak. Walaupun makcik itu nampak beragama, kebaikannya hilang terbakar dalam kesombongan dan rasa baiknya.
Dari situ saya mulai faham, apabila kita mengaku baik setelah melakukan kebaikan, kita bukanlah baik.
Dewasa ini saya sendiri mengalami hal yang serupa, merasa diri lebih baik dari orang lain. Mujurlah sentiasa saya diingatkan oleh anda dan mereka, rakan-rakan saya samada yang dekat atau di media sosial. Terima kasih banyak untuk anda.
Di sini saya berkongsi beberapa situasi yang boleh memerangkap kebaikan yang kita lakukan menjadi kegelapan di dalam hati.
1. Mengubah wajah
Jika anda merasa diri lebih baik dan memandang rendah orang lain kerana anda tidak mengubah wajah anda seperti tidak mencabut dan melukis kening, maka anda sudah diperangkap oleh ego anda.
Pernah saya terbaca komen di Facebook yang mengumpat tentang orang-orang yang mencabut dan melukis kening. Komen ini dilakukan oleh orang yang tidak mencabut dan melukis kening. Mereka mengejek orang-orang yang mencabut dan melukis kening, katanya kenapa nak dicabut kemudian dilukis semula seperti sin chan sambil diiringi hahahaha.. kerana kelucuan. Ya mereka sudah mematuhi syariat tidak mengubah wajah mereka, tapi dalam masa yang sama, mereka menggelapkan hati mereka. Mengata dan merasa diri lebih baik.
2. Tidak memakai pakaian syariat
Jika anda merasa diri lebih baik dan berpahala dari orang lain dengan memakai pakaian syariat, anda sudah terperangkap dalam ego.
Dulu sebelum saya bertudung, saya sering merasa diri sudah baik, untuk apa saya memakai tudung lagi? Orang yang pakai tudung pun ramai yang tak baik. Setelah saya memakai tudung, saya juga sempat merasa diri lebih baik dari orang yang tidak bertudung.
3. Merasa lebih berilmu
Setelah mengetahui sesuatu, kita rasa sangat hebat dari orang lain yang tidak mengetahui. Dengan adanya ilmu ini, kita rasa lengkap sudah lah pancarian ilmu kita, dan tidak ingin lagi belajar. Ilmu Tuhan sangat luas, malah belajar sangatlah dituntut dalam agama. Tidak perlu lah merasa hebat dengan ilmu yang dimiliki, dan memandang rendah ilmu orang lain. Ilmu yang asalnya tidak kita miliki juga boleh kembali tidak kita miliki.
Tidak rugi kelihatan bodoh sedangkan kamu mengetahui, dan mungkin juga orang yang berhadapan dengan anda, lebih mengetahui dari anda. Rasa ingin dipuji dan berada di atas sememangnya normal. Tapi alangkah indahnya jika ia didapati dengan percuma, tanpa perlu usaha yang berlebihan sehingga membuat anda tidak layak.
4. Mengharapkan pujian dan penghargaan
Jika anda membuat sesuatu kebaikan dan kemudian mengharapkan ucapan terima kasih atau penghargaan terhadap apa yang anda lakukan, anda sudah terperangkap dalam ego anda.
Mendapat pujian, penghormatan dan penghargaan tanpa diminta bermakna anda berada di posisi Power. Tapi jika anda sudah berusaha keras untuk mendapatkannya tapi tak dapat-dapat, bermakna anda sedang bergetar rendah di posisi Force.
Umpama wifi tanpa liputan, kalau ada pun hanya satu bar yang tidak luas liputannya. Orang-orang yang berada si posisi power pula adalah seperti free wifi dengan full coverage.
5. Tidak mahu memaafkan
Jika kita rasa seseorang itu tidak patut dimaafkan kerana kejahatannya, kita sebenarnya merasa kita adalah lebih baik dari orang itu.
Tidak mahu memaafkan adalah hasil dari merasa diri lebih baik dari orang lain. Kerana kita rasa jahatnya orang itu sehingga tidak boleh memaafkannya. Bila kita rasa orang lain jahat, automatik sebenarnya kita merasa kita berada di pihak yang baik.
Ada garis halus antara kebaikan dan keburukan, semuanya kembali kepada niat. Hati-hati lah dengan hati. Jika ia sakit, sakitlah seluruh tubuh, hati-hati lah dengan hati jika ia buruk, buruklah seluruh yang kita lakukan.
Jadi, bagaimana harus kita bersikap kalau kita tidak boleh merasa diri lebih baik dari orang lain?
Jawapannya adalah cinta.
Bukan bermaksud cinta para remaja atau cinta sesama manusia yang banyak ditayangkan di tv itu ya.. Tapi cinta kerana Tuhan. Memandang semuanya sama di sisi Tuhan. Tiada istilah pahala siapa lebih banyak, kerana kita tiada buku bank pahala untuk dicek, berapa banyak sudah pahala yang kita kumpul akibat amalan yang kita lakukan.
Cinta kerana Tuhan juga bukan bermakna kita boleh memaksa orang lain untuk jadi seperti kita. Apa yang kita boleh lakukan adalah berpesan-pesan dengan sabar dan kasih sayang.
Jika anda merasa diri penuh ego alias merasa diri lebih baik dari orang lain, saya mencadangkan kepada anda untuk menggantikannya dengan perasaan cinta kasih dan sayang.
Jika anda tidak dapat cinta kasih dan sayang kepada orang lain yang anda rasa lebih rendah dari diri anda itu, saya mencadangkan supaya anda cinta kasih dan sayang kepada diri anda dahulu. Terutama kepada hati anda, jaga lah ia baik-baik dari bintik-bintik hitam, dan maafkanlah dirimu sendiri jika ia telah terjadi.
'aku maafkan diriku terhadap apa yang aku lakukan dulu, kini dan akan datang'
Sebagai manusia biasa, saya juga tidak terlepas dari perangkap ego, kerana itu saya suka mengikuti profile, page dan blog yang berisi peringatan dan pesanan-pesanan yang memberi inspirasi.
Terima kasih, salam kesedaran.
❤
Tags:
agama dan kehidupan
cinta
ego
gelombang
getaran
Inspirasi
kasih sayang
motivasi
Nooren Aman
rohani
Semasa
spiritual
vibrasi